LCS: Kementah sedia patuh syor PAC, kata menteri

LCS: Kementah sedia patuh syor PAC, kata menteri

Hishammuddin Hussein berkata pihaknya dan semua pemegang taruh terlibat juga akan meneliti laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berharap pihak bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan (Kementah) akan mematuhi semua syor dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dalam meneruskan projek kapal berkenaan pada masa hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya dan semua pemegang taruh terlibat juga akan meneliti laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding serta proses siasatan dilakukan PAC.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak terlibat dalam penyelewengan perolehan kapal berkenaan masih berjalan dan berharap pihak bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Pada April lalu, Kabinet telah bersetuju dengan pelan pemulihan projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM (Original Equipment Manufacturer) dan vendor seterusnya, memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin berkata, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi berkenaan dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet.

PAC dalam laporan dikeluarkan hari ini mengesyorkan antaranya Kementah perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

Syor lain dikemukakan PAC adalah supaya Kementah melihat semula semua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik projek LCS bagi memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab selain perlu membentangkan laporan kemajuan LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.