Kontraktor, pekerja ubah suai rumah tiada kaitan kehilangan Zalina, kata polis

Kontraktor, pekerja ubah suai rumah tiada kaitan kehilangan Zalina, kata polis

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata perkara itu berdasarkan keterangan diambil daripada mereka dua minggu lalu.

Bekas personaliti TV Zalina Azman dilaporkan hilang sejak 24 November tahun lalu.
SHAH ALAM:
Tiga lelaki yang menjalankan kerja pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau Zalina Azman di Seksyen 3, didapati tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata perkara itu berdasarkan keterangan diambil daripada mereka yang berusia lingkungan 30-an, dua minggu lalu.

Beliau berkata, seorang daripadanya merupakan kontraktor manakala dua lagi adalah pekerja dengan mereka mula melakukan kerja pengubahsuaian pada 2019 selepas Zalina membeli rumah tersebut setahun sebelumnya.

“Ubah suai rumah itu dilakukan secara berperingkat bermula daripada pendawaian, studio, galeri dan tempat masak untuk rakaman. Kos ubah suai itu berjumlah kira-kira RM320,000 dan dua transaksi pembayaran sekitar RM260,000 dilakukan Zalina dengan terakhir pada Ogos 2021.

“Bagaimanapun, Zalina tidak meneruskan pengubahsuaian kerana tidak mempunyai wang walaupun kerja pengubahsuaian telah siap kira-kira 60%,” katanya pada sidang media.

Iqbal berkata, setakat ini pihaknya merakamkan keterangan daripada 20 individu untuk membantu siasatan kehilangan wanita berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merampas sebuah komputer riba untuk dianalisis dan beberapa dokumen menerusi pemeriksaan di rumah Zalina, 28 Julai lalu.

“Kita juga telah melakukan pemeriksaan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) namun gagal mengesan sebarang jejak di rumah tersebut,” katanya.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lalu yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov, bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Zalina dipercayai masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.