
Ia berikutan Malaysia kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam laporan tahun dikeluarkan bulan lalu, sekali gus menunjukkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.
Hamzah berkata, dokumentari akan dihantar itu memaparkan nasib mangsa kes pemerdagangan yang diselamatkan, sekali gus memberikan gambaran sebenar usaha antipemerdagangan orang yang dilakukan negara ini.
“Semua itu kita lakukan untuk memaklumkan kepada dunia, kita tidak mengambil (isu) ini sebagai sesuatu yang mudah, ringan, begitu sahaja,” katanya menurut Bernama.
Menurut Hamzah, inisiatif itu sebagai usaha kerajaan membaiki kedudukan Malaysia yang berada di tahap tiga ketika ini dalam laporan itu.
Mengulas isu sama beliau berkata, 73 penjawat awam disiasat dalam tempoh Januari hingga Julai lalu terhadap kesalahan berkaitan unsur jenayah pemerdagangan manusia dan 40 daripadanya melibatkan pegawai Jabatan Imigresen.
“Seramai enam orang (daripada 40 pegawai imigresen) telah dikenakan tindakan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen, manakala 27 lagi dikenakan tatatertib seperti digantung, dibuang kerja dan dua orang lagi telah meletakkan jawatan.
“Manakala 33 penjawat awam lain yang disiasat, dengan 13 daripadanya telah dituduh di mahkamah, 16 telah dibebaskan dan baki empat individu lagi masih disiasat.
“Ini membuktikan kita beri tumpuan apabila ada laporan diterima daripada semua pihak,” katanya.