Jawatankuasa Kabinet hanya mesyuarat 3 bulan selepas isu dera Bella, kata Ahli Parlimen

Jawatankuasa Kabinet hanya mesyuarat 3 bulan selepas isu dera Bella, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, perbincangan sepatutnya dilakukan secara kerap kerana isu golongan rentan memerlukan penyelesaian segera.

Hannah Yeoh, jawatankuasa khas Kabinet itu sepatutnya membincangkan isu golongan rentan selepas mesyuarat Kabinet setiap minggu kerana ahlinya adalah individu sama. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membidas Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan hanya mengadakan mesyuarat pertama, tiga bulan selepas isu penderaan Bella berlalu.

Katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun menyatakan mesyuarat khas itu akan diadakan segera dalam masa terdekat selepas jawatankuasa khas Kabinet berkenaan ditubuhkan.

“Sekarang sudah berlalu tiga bulan, baru mesyuarat kali pertama dilakukan. Sepatutnya mereka boleh terus melakukan perbincangan tentang isu golongan rentan ketika mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu, sedangkan ahli pun sama saja.

“Tak payah tunggu mesyuarat khas baru nak bincang isu itu, rakyat tak boleh tunggu lama sehingga tiga bulan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Yeoh berkata, perbincangan sepatutnya dilakukan secara kerap kerana isu golongan rentan memerlukan penyelesaian segera.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memperluaskan definisi golongan rentan kepada 12 kategori, termasuk gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit dan miskin.

“Apabila kita ada kementerian yang khusus bagi membantu golongan rentan ini, segala usaha patut disegerakan. Masa adalah berharga.”

Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), wanita dan warga emas.

Jawatankuasa itu dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.