Isu tiada kesudahan, ‘rider’ makanan mogok esok

Isu tiada kesudahan, ‘rider’ makanan mogok esok

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor mengesahkan rancangan itu yang menunjukkan solidariti 'rider' terhadap isu berbangkit.

Terdahulu tular di media sosial mengenai poster penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia yang akan mengadakan mogok 24 jam esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perkhidmatan penghantar makanan bakal mengalami gangguan selama 24 jam, esok berikutan penghantar makanan merancang melaksana mogok kerana tidak puas hati terhadap syarikat pengendali.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor, mengesahkan rancangan itu yang menunjukkan solidariti ‘rider’ terhadap isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian.

“Ia termasuk isu kadar upah yang tidak tetap dan dimanipulasi syarikat serta isu tambang yang tidak setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.

“Mungkin dengan cara ini (mogok) ia boleh memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya menurut Harian Metro.

Zulhelmi berkata, difahamkan mogok itu sudah dirancang sejak dua ke tiga minggu lalu, dan menjangkakan hampir semua ‘rider’ akan turut serta.

“Apa yang kami mahukan daripada tindakan ini adalah supaya syarikat penyedia perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.

“Selain itu, kita juga mahu kerajaan ambil tindakan terhadap masalah ini. Saya yakin kerajaan tahu tetapi hingga kini tiada penyelesaian,” katanya yang berharap pengguna memahami tindakan diambil golongan itu.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai poster penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia yang akan mengadakan mogok 24 jam esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.