Elak korupsi berterusan, Anwar desak henti projek LCS

Elak korupsi berterusan, Anwar desak henti projek LCS

Anwar Ibrahim desak kerajaan hentikan projek kapal tempur pesisir dan tumpu kebajikan rakyat serta pesara tentera.

Anwar Ibrahim berkata projek LCS menelan belanja RM6 bilion setakat ini.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menghentikan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menelan belanja RM9.128 bilion.

Ketua pembangkang dalam sidang media di Parlimen berkata, projek itu sudah menelan belanja RM6 bilion setakat ini.

“Kerajaan perlu memberhentikan projek LCS ini dan tidak lagi meneruskan baki projek bagi fasa berikutnya bagi mengelakkan korupsi berterusan.

“Baki kos projek LCS boleh digunakan untuk membela golongan berpendapatan rendah dan dana sebanyak RM500,000 boleh diperuntukkan untuk membela nasib pesara tentera,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Anwar berkata, merujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi fasa kedua dan ketiga projek LCS yang sedang disiapkan, ia perlu dipantau sebaiknya.

Katanya, menteri pertahanan yang terlibat sebelum ini dan juga ketua setiausaha Kementerian Pertahanan ketika itu perlu dipanggil bagi tujuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) segera.

Desakan Anwar susulan pendedahan sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, dalam kenyataan hari ini berkata kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” katanya.

Beliau berkata, PAC juga mendapati pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.