
Dalam keterangannya, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengaku beliau mendakwa dalam kenyataan bahawa tiada unsur rasuah dalam projek RM6.3 bilion itu dan bahawa “semuanya dilakukan secara sah”.
Dalam kenyataan itu, beliau juga mendakwa syarikatnya telah menerima ugutan daripada pihak yang “dekat” dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya buat kenyataan itu kerana saya fikir mahu melindungi sebarang kaitan saya dengan YB (Lim),” kata Zarul semasa pemeriksaan balas oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo mengenai kenyataan yang dikeluarkannya pada 2018 .
Gobind: Adakah kamu sekarang ubah cerita disebabkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
Zarul: Ya.
Gobind kemudian mencadangkan kemungkinan Zarul, yang pernah disabitkan kesalahan bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan yang kini telah dimansuhkan, “bersedia untuk berbohong”.
“Saya tak setuju (tetapi) saya tiada peluang untuk menjelaskan (perubahan pendirian saya) sekarang (semasa pemeriksaan balas),” jawab Zarul.
Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul 10% bahagian keuntungan daripada projek terowong dasar laut itu dan menerima sogokan RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.
Dia turut berdepan dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
Zarul pertikai keterangan saksi ‘bocor’
Zarul turut mempertikaikan kesahihan keterangannya kepada SPRM yang “bocor”, didakwa diterbitkan dalam talian pada Februari 2019.
“Keterangan itu tidak mempunyai tandatangan saya mahupun pegawai perakam (SPRM),” kata Zarul.
Gobind: Boleh tunjukkan keterangan kamu?
Zarul: Saya tak ada keterangan itu (dengan saya).
Gobind kemudian meminta pihak pendakwaan menyerahkan keterangan Zarul yang dirakam SPRM supaya pihak pembelaan boleh menyoal saksi itu mengenai isi kandungannya.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mereka akan menjawab permintaan pihak pembelaan itu esok.
Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung esok.