9 polis terlibat kes peras ugut belum dipindah, kata KPN

9 polis terlibat kes peras ugut belum dipindah, kata KPN

Semalam kerajaan Sarawak menegaskan pihaknya berharap polis menempatkan pegawai dan anggota berintegriti tinggi serta bebas daripada sebarang siasatan jenayah.

Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM mengambil tindakan lanjut termasuk mengkaji semula isu berkaitan perpindahan anggota terbabit. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat kes peras ugut di Selangor masih belum dipindahkan ke Sabah atau Sarawak, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, polis mengambil perhatian terhadap maklum balas daripada kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung perkara itu, dan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM mengambil tindakan lanjut termasuk mengkaji semula isu berkaitan perpindahan anggota terbabit.

“Mereka (anggota polis) belum dipindahkan lagi (ke Sabah atau Sarawak).

“Terima kasih atas maklum balas yang kami terima daripada kerajaan Sarawak dan Sabah. Apa juga makluman berkaitan perkara ini akan disalurkan melalui Unit Komunikasi Korporat PDRM,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Op Bersepadu Khazanah Siri 11 Bil.2/2022.

Selasa lepas Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi dilaporkan berkata, sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, mengenai pemilikan dadah baru-baru ini ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

Namun, semalam, kerajaan Sarawak dalam kenyataan menegaskan, pihaknya berharap polis menempatkan pegawai dan anggota berintegriti tinggi serta bebas daripada sebarang siasatan jenayah.

Kerajaan Sarawak pada masa sama menyambut baik usaha polis bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.