Tengku Zafrul dilantik bendahari BN Selangor, langkah berisiko oleh Umno

Tengku Zafrul dilantik bendahari BN Selangor, langkah berisiko oleh Umno

Menteri kewangan itu sebelum ini dikritik hebat atas dasarnya, termasuk oleh beberapa pemimpin utama Umno.

Tengku Zafrul Aziz, yang keahliannya dalam Umno baru disahkan pada Mei, dilantik sebagai bendahari baharu BN Selangor Ahad lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno dilihat seolah-olah membuat pertaruhan apabila melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bendahari baharu Barisan Nasional (BN) Selangor.

Semasa wabak Covid-19, menteri kewangan itu dikritik hebat, termasuk oleh beberapa pemimpin utama Umno, kerana menganjurkan dasar yang dilihat tidak selaras dengan keperluan rakyat.

Beliau dikritik kerana dilihat tidak cukup berusaha untuk mendesak moratorium pinjaman automatik tahun lepas dan dipersendakan selepas pada mulanya menyekat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada membuat pengeluaran keempat daripada dana pencen mereka.

Penganalisis politik Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah percaya Umno membuat keputusan “dari atas ke bawah”, berbanding di peringkat akar umbi, apabila melantik Zafrul memegang jawatan dalam BN Selangor.

“Umno tidak rugi, dan (parti itu) nampaknya mencuba nasib untuk lihat apa akan jadi,” katanya kepada FMT.

“Ada antara dasar Zafrul yang tidak popular. Jadi kita hanya perlu tunggu dan lihat bagaimana Umno cuba membina semula imejnya dan ‘menjualnya’ kepada akar umbi.

“Saya rasa beliau akan ‘dijenamakan’ semula agar beliau akan dilihat sebagai salah seorang calon yang jelas untuk membantu Umno mengambil alih Selangor. Saya tidak nampak parti itu ada calon lain yang berpotensi menjadi menteri besar.”

Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Zafrul mungkin tidak mendapat sokongan akar umbi Umno seperti yang diharapkan oleh pucuk pimpinan parti apabila mereka mengumumkan pelantikannya.

Katanya, ramai penyokong Umno “agak berfikiran sempit atau berpuak-puak” dan lebih suka “anak tempatan menjadi calon, tanpa mengira kelayakan atau pencapaian”.

Namun Oh juga bercakap tentang “keupayaan yang hampir uniknya Melayu, iaitu bersatu dengan spontan” apabila berdepan musuh bersama atau ketika berdepan ancaman kehilangan kuasa.

“Jangan sekali-kali pandang rendah (ciri) ini,” katanya.

Dua lagi penganalisis percaya menteri kewangan itu akan membawa kesan yang diingini terhadap akar umbi parti.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ahli Umno mahukan muka baharu.

“Akar umbi Umno tidak mahu seorang lagi ‘panglima perang’ yang mempunyai terlalu banyak kuasa,” katanya kepada FMT.

“Mereka mahu seseorang yang tidak terlalu terlibat dengan politik, tidak kontroversial dan boleh membawa idea baharu.”

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir memuji Zafrul atas “jenamanya yang kukuh” dan “rekod bersih” pemimpin itu. Beliau yakin Zafrul membawa kesan positif bagi partinya.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa kritikan dihadapi Zafrul berhubung dasarnya yang tidak popular akan memburukkan imejnya di mata akar umbi Umno.

“Saya rasa beliau ada justifikasi sendiri dalam apa jua keputusan dibuatnya,” kata Jeniri.

“Keputusan beliau adalah untuk kebaikan negara, bukan untuk kepentingan peribadinya.

“Walaupun beliau membenarkan pengeluaran KWSP keempat susulan desakan orang ramai, beliau bukan seorang populis. Dan kita tidak sepatutnya mengambil pendekatan populis dalam menguruskan negara.”

Tengku Zafrul, yang keahliannya dalam Umno baru disahkan pada Mei, dilantik sebagai bendahari baharu BN Selangor Ahad lepas. Beliau sebelum ini mengecil-ngecilkan cita-cita politiknya.

Pelantikannya diumumkan oleh Pengerusi BN Selangor Noh Omar pada konvensyen Selangor gabungan itu, di mana kehadirannya disambut mesra.

Timbul ura-ura bahawa beliau berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.