Pencarum seksa di hari tua jika tak menabung tinggi ketika muda, kata ahli ekonomi

Pencarum seksa di hari tua jika tak menabung tinggi ketika muda, kata ahli ekonomi

Penetapan kadar caruman berkanun syer pekerja perlu dikekalkan 11% dan tidak wajar diturunkan lagi memandangkan kos perubatan semakin meningkat selari usia pencarum.

Jumlah caruman pekerja di negara ini bagi KWSP masih rendah berbanding negara serantau, menurut ahli ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penetapan kadar caruman berkanun syer pekerja perlu dikekalkan kepada 11% dan tidak wajar diturunkan lagi pada masa depan memandangkan kos perubatan semakin meningkat selari dengan usia pencarum, kata ahli ekonomi.

Rusmawati Said dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sekiranya pekerja tidak mampu menabung ketika ini, ia akan membawa kepada keadaan yang lebih meruncing pada hari tua kerana berkait rapat dengan isu kesihatan.

“KWSP menetapkan kadar 11% selepas melihat jangkaan penggunaan hari tua. Disebabkan kos kesihatan semakin meningkat, dibimbangi pencarum akan lebih ‘terseksa’ jika tidak mencarum lebih banyak sekarang,” katanya kepada FMT.

Beliau turut memberi contoh sekiranya individu berpendapatan RM2,000 mencarum 11%, ia melibatkan sebanyak RM220 sebulan berbanding RM180 pada kadar 9%.

Rusmawati Said.

“Perbezaan RM40 itu nilainya sangat kecil, apa yang kita boleh beli dan buat dengan jumlah itu, tak banyak pun… sebab itu nisbah berkenaan perlu dimasukkan ke dalam simpanan untuk digandakan bagi kegunaan hari tua. Mungkin RM40 ini dianggap penting dalam tempoh pekerja bergelut dengan kos sara hidup tinggi, namun keadaan ini perlu dilihat dalam jangka panjang,” tegasnya.

Bermula Julai, caruman syer pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan kepada kadar asal iaitu 11% berbanding 9% sebelum ini.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar caruman itu dikurangkan bagi Januari 2021 hingga Disember 2021, dan kemudian menerusi Bajet 2022 kerajaan mengumumkan tempoh pengurangan kadar caruman KWSP dilanjutkan sehingga Jun tahun ini. Bagaimanapun, terdapat rungutan daripada orang ramai yang mahukannya kekal pada kadar 9% memandangkan isu inflasi masih menghambat pengguna.

Berjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak juga menyokong langkah KWSP menaikkan semula kadar caruman itu, sambil menegaskan jumlah caruman pekerja negara ini masih rendah berbanding negara serantau.

“Kekalkan 11% kerana ia masih rendah berbanding 12% oleh pekerja dan 13% daripada majikan. Jadi secara bulanan, pekerja akan menyimpan kira-kira 25% daripada gaji mereka dan ini masih rendah jika dibandingkan dengan Singapura yang mencarum kira-kira 35% daripada gaji mereka.

“Kita perlukan simpanan ini kerana kebanyakan orang kita tiada skim simpanan lain. Jadi apabila mereka bersara, ini saja simpanan yang boleh diharapkan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau juga meminta pencarum tidak terlalu memikirkan jumlah pendapatan yang ditolak kerana pada akhirnya, ia akan “datang semula” di dalam simpanan hari tua, pada kadar lebih tinggi. Katanya, tindakan kerajaan mengurangkan caruman sebelum ini adalah langkah sementara ketika pandemik, sebaliknya keadaan kini sudah semakin stabil.

“Kita kena ingat, simpanan KWSP bukan satu bentuk cukai, tetapi simpanan kita jangka panjang. Kita akan dapat faedah berganda kerana pelaburan itu,” katanya.

“Ini masa terbaik untuk kita perkenalkan semula (menaikkan kadar caruman) bagi memastikan program persaraan sektor swasta tidak tergendala.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.