Hormat pandangan menteri agama berhubung Bon Odori, Oktoberfest, kata Wan Fayhsal

Hormat pandangan menteri agama berhubung Bon Odori, Oktoberfest, kata Wan Fayhsal

Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata tidak ada salahnya Idris Ahmad menyatakan pandangan itu atas kapasiti sebagai seorang yang menjaga autoriti agama.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan tidak menggunakan undang-undang untuk menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pandangan Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad berhubung festival Bon Odori dan Oktoberfest perlu dihormati semua pihak.

Beliau berkata tidak ada salahnya Idris menyatakan pandangan itu atas kapasiti sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang yang menjaga autoriti agama.

“Saya mungkin boleh menjawab sebagai seorang Muslim dan saya melihat dalam rukun negara ada satu frasa iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Saya fikir sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya (dan) agama, contohnya Bon Odori dan Oktoberfest yang sebenarnya bukannya sebahagian daripada budaya kita, asalnya,” katanya di ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya apakah pendirian Kementerian Perpaduan Negara apabila Idris cuba mengganggu amalan dan budaya bukan Islam dalam aspek Bon odori dan Oktoberfest.

Lim turut menyarankan PAS seharusnya melihat isu lebih besar seperti isu rasuah berbanding isu festival berkenaan.

Tambah Wan Fayhsal, kerajaan tidak menggunakan undang-undang untuk menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka.

“Saya rasa dalam hal ini, saya fikir, tiada salahnya menteri agama mengatakan begitu sebagai seorang muslim dan sebagai seorang yang menjaga autoriti agama,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, Idris berkata perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

“Berkenaan dengan Oktoberfest, semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara Malaysia yang berasaskan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Pada Jun lalu, Idris menyeru umat Islam supaya tidak menyertai sambutan Bon Odori yang dianjurkan oleh Kedutaan Jepun hingga mengundang kritikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berikutan itu, baginda menitahkan menteri hal ehwal agama menghadiri sambutan perayaan itu bagi memahami perbezaan antara agama dan budaya.

Kenyataannya kemudian mendorong Sultan Selangor mencadangkan agar menteri itu melawat perayaan itu supaya dapat memahaminya dengan lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.