
Beyond Borders dan Alliance of Chin Refugees memetik kes seorang pelarian Myanmar yang membunuh diri selepas mencampak tiga anaknya dari Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pagi semalam.
Lelaki itu dan salah seorang anaknya memiliki kad kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Seorang daripada kanak-kanak itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala yang lain meninggal dunia.
NGO terbabit menggesa Putrajaya menghentikan serbuan Imigresen dan memberi hak kepada pelarian untuk bekerja di Malaysia, bagi mengurangkan tekanan yang dialami masyarakat itu.
Mereka menyeru agar pakej bantuan merangkumi komuniti dan UNHCR diberi akses ke pusat tahanan Imigresen supaya pelarian di sana boleh didaftarkan.
“Pelarian telah ditangkap dalam serbuan Imigresen dan ini telah menimbulkan ketakutan besar sambil menjejaskan kebebasan pergerakan mereka dengan teruk. Walaupun mempunyai kad UNHCR, ia tidak menjamin mereka tidak akan ditangkap oleh polis atau Imigresen.
“Kehilangan pekerjaan, ketidakupayaan untuk menyara keluarga mereka atau membayar sewa dan kekurangan laluan selamat untuk mencari suaka adalah beberapa sebab pelarian terpaksa membunuh diri.
“Mereka bukan hanya tidak mempunyai hak untuk bekerja, tetapi mereka juga tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki dan pendidikan berstruktur untuk anak-anak mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Di bawah undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, NGO itu berkata, Putrajaya bertanggungjawab untuk menjamin hak pelarian dan pencari suaka.
Mereka berpendirian bahawa penyelesaian sedikit demi sedikit bukanlah cara untuk menangani situasi itu, dengan mengatakan pelarian perlu diberi hak untuk hidup dengan bermaruah.