Jabatan Peguam Negara masih ‘kaji’ kenyataan pendakwah mengenai orang Islam bersih kuil

Jabatan Peguam Negara masih ‘kaji’ kenyataan pendakwah mengenai orang Islam bersih kuil

Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Bahagian Pendakwaan jabatan itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tangkap layar video yang tular pada Januari menunjukkan sukarelawan muda, termasuk pelajar UIAM membersihkan kuil Hindu di Klang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara masih dalam proses memutuskan sama ada terdapat cukup keterangan untuk mendakwa seorang pendakwah yang dikatakan mengecam sekumpulan pemuda beragama Islam kerana membersihkan tempat ibadat lain selepas banjir besar Disember lepas.

“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapan bertulis Parlimen.

“Kertas siasatan itu sedang dikaji dan diteliti sebelum arahan lanjut boleh diberikan oleh Jabatan Peguam Negara sama ada keterangan yang ada memenuhi elemen kesalahan di bawah undang-undang atau sebaliknya.”

Beliau menjawab pertanyaan oleh R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai sama ada Jabatan Peguam Negara akan mengambil sebarang tindakan terhadap pendakwah Idris Sulaiman yang dikatakan “memaki dan menghina agama” selain Islam, khususnya agama Hindu.

Idris dilaporkan berkata, umat Islam tidak seharusnya membersihkan tempat ibadat lain, walaupun sebagai bantuan selepas banjir.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu video yang tular pada Januari menunjukkan sukarelawan muda, termasuk pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), membersihkan sebuah kuil Hindu di Klang.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai mengesahkan laporan telah diterima, dan berkata kes itu akan disiasat kerana menyinggung perasaan beragama seseorang dan penyalahgunaan Internet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.