Ancam penduduk, Bung cadang tangkap, bunuh buaya

Ancam penduduk, Bung cadang tangkap, bunuh buaya

Cadangan itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk yang mencari sumber rezeki di Sungai Kinabatangan tidak terus terancam.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin berkata kebenaran menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik perlu dilaksanakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan peraturan bagi membolehkan buaya di Sabah ditangkap dan dibunuh bagi mengurangkan jumlah reptilia itu.

Katanya, cadangan itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk yang mencari sumber rezeki di Sungai Kinabatangan tidak terus terancam.

“Kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta seperti dilakukan kerajaan Sarawak dalam menangani isu buaya yang terdapat di beberapa sungai di Sabah khususnya di Kinabatangan.

“Kebenaran untuk menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik perlu diberikan bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sabah.

“Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk terutama yang tinggal di kawasan berhampiran sungai” katanya dalam kenyataan.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kejadian penduduk diserang atau dibaham buaya sudah beberapa kali berlaku di Sungai Kinabatangan dan tindakan proaktif perlu dilakukan segera.

Katanya, ia termasuk kejadian terbaharu membabitkan seorang wanita, Norsila Sayong, dibaham buaya di anak sungai di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, Kinabatangan.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa berusia 32 tahun ditemui dalam keadaan tidak sempurna selepas dilaporkan dibaham buaya ketika memancing di sungai berkenaan.

“Kejadian ini bukan kali pertama berlaku, tetapi telah ramai mangsa menjadi korban ekoran keganasan buaya-buaya di Sungai Kinabatangan. Tindakan segera untuk menangani isu ini perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terlibat terjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.