Aktiviti gali pasir, mineral Tasik Chini dihenti, kata menteri

Aktiviti gali pasir, mineral Tasik Chini dihenti, kata menteri

Tindakan tegas itu diambil bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia dapat dikekalkan, kata Takiyuddin Hassan.

Hasil tinjauan berkala pertama oleh Unesco, baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu.
PETALING JAYA:
Sebarang aktiviti, termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir dan mineral yang boleh menjejaskan Tasik Chini, sudah dihentikan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata tindakan tegas itu diambil bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dapat dikekalkan.

Beliau berkata, ia susulan laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), yang menyebut Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

“Beberapa tindakan sama ada oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sudah diambil bagi mengelak Tasik Chini dilucutkan status Unesco.

“Maklumat terperinci mengenai perkara ini, akan saya jelaskan di Parlimen, esok. Namun, apa yang boleh saya katakan, kita sudah mengambil tindakan bagi memastikan Tasik Chini dikekalkan status.

“Antara tindakan diambil adalah kita menghentikan segala kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini dan tiada lagi kelulusan baru serta apa-apa usaha untuk membangunkan kawasan berkenaan, termasuk mengambil pasir dan mineral.

“Jadi, arahan tegas daripada kerajaan adalah tidak ada kelulusan baharu untuk pengambilan mineral dan galian di Tasik Chini,” katanya, menurut Berita Harian.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

Hasil tinjauan berkala pertama oleh Unesco, baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu, namun badan dunia itu memberi tempoh sehingga 30 Sept ini untuk negara memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Berikutan itu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, memberi jaminan semua langkah pemulihan dan penambahbaikan untuk mengekalkan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada WNBR akan disiapkan sebelum 30 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.