
Khairuddin berkata, kebersamaan bagaimanapun mesti terus dibina atas nama semangat persaudaraan Islam dan ia perlu diterima sebagai persaingan sihat dalam arena politik.
“Serang-menyerang politik boleh sentiasa dikendurkan diganti dengan kritikan politik yang adil dan berilmu serta berfakta.
“Budaya politik matang sejahtera memang wajar sentiasa diamalkan oleh semua orang politik dengan sentiasa mengemukakan politik berprinsip, politik penyelesaian Islam, melebarkan nasihat-menasihati, amar makruf nahi mungkar, politik mengutamakan rakyat, politik benar tidak mencipta persepsi, politik damai dan diplomasi serta politik rasional dan profesional,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, Muafakat Nasional (MN) masih berguna walaupun hubungannya sudah “suam-suam kuku”.
Katanya, gabungan antara PAS dan Umno itu boleh menjadi platform kerjasama dalam perkara kebajikan dan takwa.
“Selagi kerajaan bersama di peringkat persekutuan berjalan, ruang kerjasama sentiasa ada untuk diperkukuhkan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyentuh isu kerjasama antara kedua-dua parti itu bagi berdepan PRU15.
Menurutnya, kerjasama antara PAS dan Umno perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.