
Katanya, minuman keras tidak mewujudkan budaya harmoni, sebaliknya menimbulkan persengketaan dalam masyarakat.
“Arak tidak membina akal yang sihat dan minda yang cerdas sebaliknya melumpuhkan daya fikir,” katanya yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam kenyataan.
Beliau berkata, Islam tidak menghalang penganut bukan Islam minum arak, namun menjadikannya sebagai pesta sama seperti mempromosi masyarakat dengan budaya tidak sihat.

“Apabila arak difestivalkan acara meminumnya di dalam negara ini, ia bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat Malaysia untuk minum arak,” katanya.
Semalam, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoal keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan festival “Oktoberfest” yang disifatkannya mencabuli prinsip perlembagaan negara.
Lim berkata, tindakan sedemikian bertentangan semangat penubuhan Malaysia dengan merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, bahawa kerajaan menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan menyebabkan penganjurannya tidak sesuai di negara ini.
“Bahkan, arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini. Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita,” katanya.