
Pesawat khas yang membawa Pelosi dan delegasinya mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada 10.30 pagi.
Ketibaan Pelosi, 82, yang mengenakan sut merah jambu, disambut Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon. Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia Brian D McFeeters.
Lawatan ini adalah yang pertama bagi Pelosi ke Malaysia. Turut serta dalam delegasinya ialah pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat, Gregory Meeks.
Pelosi ialah pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker dewan.
Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura semalam sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.
Ketika berada di sini, beliau dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen pada tengah hari sebelum makan tengah hari bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel terkemuka di sini.
“Lawatan itu antara lain akan menumpukan kepada isu keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik,” menurut kenyataan akhbar pejabat Pelosi.
AS menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 berikutan kemerdekaan Malaya daripada Britain.
Pada April 2014, hubungan dua hala Washington dan Kuala Lumpur dinaik taraf kepada Perkongsian Komprehensif.