
Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa kerajaan sudah menarik balik rayuan berkaitan kes itu, selepas kedua-dua pihak memuktamadkan penyelesaian mereka.
Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali yang mewakili Kementerian Pengangkutan berkata, mereka sudah memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan berhubung injunksi bagi kes itu.
Vernon Ong, yang mempengerusikan panel hakim, membatalkan rayuan itu dan tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos. Hakim lain yang bersidang ialah Abdul Rahman Sebli dan Mary Lim.
Pada Jun, mahkamah diberitahu bahawa Dhaya Maju sedang dalam proses menyelesaikan saman terhadap kerajaan.
Kontraktor itu memulakan tuntutan terhadap kerajaan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan dua pihak lain pada 2020, memohon deklarasi bahawa penamatan kontraknya tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian penyelesaian yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
Katanya, kerajaan tiada asas untuk menamatkan kontrak KVDT2 itu atas dasar kepentingan awam.
KVDT2 ialah salah satu daripada 101 projek menelan belanja RM6.61 bilion yang didakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberikan melalui rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Projek itu menjangkau jarak 110km, melibatkan dua landasan kereta api KTM – satu dari Salak Selatan ke Seremban dan satu lagi dari titik antara KL Sentral dan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.
Pada 18 Mei, kerajaan Ismail Sabri Yaakob bersetuju Dhaya Maju meneruskan projek itu, berdasarkan terma dalam Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019.