
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, siasatan ke atas lima suspek yang ditahan bulan lalu sudah selesai.
“Esok (hari ini) kita akan rujuk kepada pejabat TPR Kuala Lumpur untuk mendapatkan keputusan atas cadangan kita,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pada 19 Julai lalu, polis menerima 121 laporan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang membabitkan kerugian hampir RM5.17 juta di seluruh negara. Daripada jumlah itu, polis membuka 22 kertas siasatan.
Kes tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur dengan 48 laporan, disusuli Selangor (30 laporan), Pahang (18 laporan) dan masing-masing enam laporan di Johor, Perak serta Kelantan.
Tiga laporan dibuat di Kedah, Negeri Sembilan (dua laporan) dan masing-masing satu di Terengganu serta Pulau Pinang.
Ia mengakibatkan kerugian sebanyak RM2.07 juta di Kuala Lumpur, diikuti Pahang (RM1.2 juta), Selangor (RM956,300), Kelantan (RM280,000), Perak (RM203,000), Negeri Sembilan (RM170,500), Johor (RM125,000), Kedah (RM48,000), Terengganu (RM38,000) dan Pulau Pinang (RM32,000).
Polis kemudiannya menahan lima individu berusia 30 hingga 60 tahun di ibu negara pada 8 Julai lalu. Mereka terdiri daripada pemilik agensi pelancongan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja agensi itu.