Kertas siasatan kes rogol babit penceramah bebas dihantar ke TPR

Kertas siasatan kes rogol babit penceramah bebas dihantar ke TPR

Polis berkata, kertas siasatan itu dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

Penceramah bebas ditahan di IPD Kuala Selangor pada 18 Julai lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kertas siasatan membabitkan penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan lanjut hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan itu dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

“Kertas siasatan diserahkan kepada TPR hari ini untuk semakan dan kami tunggu arahan seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Pada 28 Julai lalu, Azmi dilaporkan berkata, lelaki dalam lingkungan 30-an itu diserahkan kepada polis Perak selepas tempoh remannya tamat pada 27 Julai lalu bagi siasatan kes di Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang 18 Julai lalu dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berdasarkan siasatan awal, perkenalan suspek dan remaja itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial untuk bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

Setakat ini, terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu, iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.