Gagal sediakan sistem kerja selamat, 2 syarikat didenda

Gagal sediakan sistem kerja selamat, 2 syarikat didenda

Amcon Engineering Sdn Bhd dan Unifuji Sdn Bhd masing-masing didenda RM45,000 dan RM40,000 selepas mengaku bersalah.

Amcon Engineering Sdn Bhd dan Unifuji Sdn Bhd dituduh mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini menjatuhi hukuman denda masing-masing RM40,000 dan RM45,000 ke atas dua syarikat selepas dituduh gagal mengadakan sistem kerja selamat dua tahun lalu.

Syarikat kontraktor Amcon Engineering Sdn Bhd dan Unifuji Sdn Bhd dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Dalam prosiding itu, Amcon diwakili Pengarah Urusan Soong Chia Chuan, manakala Unifuji Sdn Bhd diwakili Pengarah Bahagian Operasi P Rajasegaran, lapor Bernama.

Amcon didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja bagi kerja ‘flushing’ sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga petugas di Tangki A Pump House, Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, 2.45 petang, 28 Nov 2020.

Manakala, Unifuji didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja pemeriksaan dalam tanki enap cemar di Loji Rawatan Kumbahan sehingga menyebabkan seorang pekerja tempatan berusia 32 tahun maut di Ulu Bernam Estate, Hilir Perak, 5.50 petang, 21 Sept 2020.

Kedua-dua syarikat dituduh mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM45,000 terhadap Amcon, sementara Unifuji didenda RM40,000. Kedua-dua wakil syarikat kemudian membayar denda itu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Fazira Azita Abdul Rashid manakala Shassidaren Deva Sana Pathy mewakili Unifuji Sdn Bhd sementara Amcon Engineering Sdn Bhd tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.