
Ia susulan rasa panik penduduk dan pelancong yang melihat ombak besar “menelan” seluruh kawasan pantai Pulau Pinang.
Pakar marin Universiti Sains Malaysia (USM), Zulfigar Yasin, berkata kajian pemendapan dan hidrologi yang komprehensif perlu dijalankan, bermula dari pantai dan kemudian berkembang dalam radius luar.
“Isu dengan kajian semasa yang ada ialah ia tidak mengikut skala, anda tidak boleh menunjukkan punca dan kesan garis pantai yang terhakis.

Katanya, penanaman rumput laut dan bakau, ditambah dengan pembangunan pantai yang mesra alam, boleh membantu.
“Padang rumput laut atau sebarang penanaman tumbuhan laut seperti yang terdapat di sekitar “Middle Bank” (Tebing Tengah) Pulau Pinang telah membantu mengurangkan hakisan,” katanya.
Zulfigar berkata, pantai yang hilang itu disebabkan oleh kitaran, serta diburukkan lagi oleh perubahan iklim dan pembangunan pantai.
Katanya, adalah penting untuk menjalankan kajian ke mana pasir pantai dibawa dan diendapkan.
Penyelidikan pantai yang dibiayai oleh pemaju
Zulfigar berkata penyelidikan hidrologi mengenai laut atau pantai pada masa ini sedang dijalankan oleh perunding yang dilibatkan oleh pemaju.
Beliau berkata, ini membawa dilema etika kerana ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebebasan perunding sedemikian yang digaji oleh pemaju.
“Kami mempunyai masalah di mana EIA (penilaian kesan alam sekitar) sering dilakukan oleh penyokong projek, di mana anda boleh menjangkakan mereka berkata semuanya baik-baik saja,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar persekutuan perlu menubuhkan tabung amanah yang ditadbir oleh pihak bebas untuk mengadakan kajian berkaitan alam sekitar.
Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini berkata, kawasan sepanjang 242m di pantai Batu Ferringhi sedang dibaik pulih secara berperingkat.