‘Konsep’ lebih membantu usahawan berbanding kuota, kata Dewan Melayu

‘Konsep’ lebih membantu usahawan berbanding kuota, kata Dewan Melayu

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menegaskan hanya konsep yang sesuai akan memberi kesan ketara ke atas usahawan Bumiputera dan mendorong persaingan.

Abdul Halim Husin berkata, halangan paling besar ialah jenis barang dan jenama yang biasa dijual peniaga Bumiputera tidak sesuai dijual di pusat beli-belah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pusat beli-belah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menyediakan konsep yang sesuai untuk usahawan Bumiputera, meliputi segenap aspek termasuk kos, produk, dan penempatan, untuk menarik penyertaan dan mendorong persaingan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, hanya konsep yang betul akan memberi kesan ketara ke atas usahawan Bumiputera berbanding pendekatan kuota.

“Sebahagian besar pusat membeli belah bukan dipunyai oleh GLC. Justeru, jika kuota Bumiputera hanya dikenakan kepada pusat membeli-belah milik GLC, kesannya tidak ketara,” katanya kepada FMT.

Halim menjelaskan halangan paling besar ialah jenis barang dan jenama yang biasa dijual oleh peniaga Bumiputera tidak sesuai dijual di pusat beli-belah.

Katanya, lebih ramai peniaga Bumiputera akan berani masuk pusat beli-belah dan bersaing dengan usahawan lain sekiranya konsep sesuai disediakan, termasuk kadar sewa dan ditempatkan di tengah-tengah lokasi berniaga bersama peniaga bukan Bumiputera.

“Contohnya, kalau ada 30% kuota kepada Bumiputera, ianya bukan dilonggokkan di satu tempat sahaja,” katanya.

Halim berkata, pengasingan akan menyebabkan peniaga dan pelanggan bergaul sesama mereka, mengikut garis kaum.

“Bumiputera bergaul dengan Bumiputera, dan kaum lain sesama mereka,” tambahnya.

“Bila meletakkan Bumiputera di antara bukan Bumiputera…tidak akan berlaku diskriminasi dari segi kemasukan pelanggan untuk membeli barang.

“Bila campur semua kaum berniaga satu tempat, ia sangat memudahkan pelanggan melihat barang hendak dibeli.”

Sebelum ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki GLC supaya diuruskan syarikat tempatan bagi membolehkan Bumiputera menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Seruan itu termasuk UDA Holdings Berhad yang menjual atau menyewakan ruang perniagaan sedia ada pada kadar mampu ditanggung usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.

“Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana lebih selesa dan pada masa sama meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.