Tiada rumah terbuka Raya agensi kerajaan, GLC, GLIC

Tiada rumah terbuka Raya agensi kerajaan, GLC, GLIC

Sebagai langkah hemah berbelanja, kerajaan turut hadkan perjalanan rasmi ke luar negara babit menteri, pegawai.

PM Anwar Ibrahim berkata, langkah ini diambil untuk berhemah dalam perbelanjaan berikutan kemungkinan kesan daripada konflik di Timur Tengah.
PUTRAJAYA:
Semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarahkan agar tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dipersetujui bersama dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai langkah berjaga-jaga ekoran konflik di Timur Tengah yang meruncing sejak 28 Feb.

“Ini memberi satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan langkah penjimatan pada masa ini sebagai munasabah, walaupun bekalan barangan keperluan asas masih mencukupi dan keadaan ekonomi berada dalam keadaan terkawal.

“Ada yang bertanya, apa keperluan untuk berjimat? Ini supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah. Lebih baik kita ambil sikap sederhana dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan akan mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara membabitkan menteri dan pegawai pentadbiran.

Katanya, lawatan luar negara hanya akan dibenarkan bagi program yang sudah dijadualkan atau benar-benar wajib dihadiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.