
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun berkata pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan menurun sebanyak 0.1% kepada 1.4% dalam tempoh sama.
Katanya, penggunaan katil bukan kritikal, katil unit rawatan rapi dan katil pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) masing-masing kekal tidak berubah dengan 23%, 14% dan 7.0%.
“Bilangan kes sembuh meningkat 35.5% (22,757 kes kepada 30,823 kes), bilangan kes baharu menurun sebanyak 5.2% (29,886 kes kepada 28,339 kes) dan kes kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak 28.6% (63 kes kepada 49 kes),” katanya dalam kenyataan.
Tetapi, Hisham berkata, kes positif dipantau oleh pusat penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara masih menunjukkan peningkatan, dengan jumlah pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2%.
Sementara itu, jumlah kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5% dan jumlah kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9%.
“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) pada akhir minggu epidemiologi 30 turun 7.69% berbanding pada akhir ME 29 (dari 70,140 kes ke 64,743 kes).”