
Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), berkata tindakan dibuat agensi itu berupaya mengakibatkan penganiayaan terhadap penternak luar bandar.
Beliau juga menggesa Fama supaya bertindak sebagai pesaing kepada penternak dikategorikan sebagai pemain industri gergasi ayam.
“Ini bagi menstabilkan harga ayam dengan memasarkannya pada harga lebih rendah kepada pengguna.
“Umum ketahui, harga ayam semakin tak terkawal sehingga kerajaan perlu meneruskan subsidi sebanyak RM370 juta, walaupun telah menetapkan harga syiling,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Salim turut mencadangkan agar Pasar Tani Kekal (PTK) dijenamakan semula sebagai ‘Pasar Tani Keluarga Malaysia’ supaya sejajar dengan polisi kerajaan dan menjadikan PTK sebagai pasar yang berimej baharu.
Beliau berkata ini kerana ramai pengguna PTK terdiri daripada pelbagai kaum.
Sementara itu, Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menggesa kerajaan serius menangani kegiatan kartel daging, khususnya tindakan monopoli oleh beberapa syarikat pengimport produk ternakan yang didakwa masih berterusan hingga kini.
Beliau berkata, tindakan kartel dan sindiket yang memonopoli pasaran import daging berupaya menjejaskan rantaian pengeluaran daging negara.
“Masa saya dulu, kita sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras kertel ini. Ada dua, tiga syarikat yang kawal import bernilai RM2 bilion dan apabila ada Bumiputera mahu import, tak boleh sebab dikawal oleh sindiket ini.
“Sindiket ini bekerjasama dengan pengeksport dari India dan Australia. Berlaku sampai sebegitu rupa. Kalau ada yang baharu mahu masuk, terutama Bumiputera, mereka tidak bagi peluang langsung kerana dikawal dua, tiga syarikat (pengimport) ini,” katanya.
Terdahulu, RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 dibentang Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah itu, antara lain, untuk meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141).
Ahmad berkata, RUU itu bertujuan memperluas tafsiran bagi keluaran pertanian dengan memasukkan komoditi ternakan tertentu iaitu lembu dan sejenis dengannya, kambing, bebiri, rusa, arnab dan ternakan unggas seperti ayam, puyuh dan itik.
Ahmad berkata, sehingga 30 Jun lalu, Fama mencatatkan potensi jualan dengan nilai RM44 juta bagi program program pembangunan eksport yang dilaksanakan.