
Wanita hanya ingin dikenali sebagai Too berkata, dia menerima banyak panggilan dan mesej daripada lima peminjam berbeza sejak Rabu lalu.
Mereka memberitahu sedang mencari bekas suaminya, Tan Hong Wei, yang didakwa meminjam wang yang tidak diketahui jumlah dan kini menghilangkan diri.
Walaupun dia telah terputus hubungan dengan Tan selama beberapa tahun, pemberi pinjaman tetap mencarinya atau memaksa menjelaskan pinjamannya, kerana dia dinamakan sebagai penjamin.
Too berkata, seorang pemberi pinjaman memaklumkan Tan telah meminjam sebanyak RM10,000 namun dia tidak diberitahu jumlah sebenar hutang bekas suaminya dengan peminjam lain.
Dua anak perempuannya, berusia 14 dan 15 tahun, juga menjadi sasaran ugutan pemberi pinjaman, dengan salah seorang peminjam mendakwa, mereka mempunyai maklumat peribadi anak-anaknya.
“Mereka memberitahu saya, anak-anak dan keluarga, berhati-hati serta memberi amaran untuk menyimbah cat di rumah saya.
“Sebenarnya, mereka hanya mahu mengetahui di mana bekas suami berada dan jika mereka tidak menemuinya, saya perlu menanggung akibatnya,” katanya pada sidang media bersama Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong.
Too berkata, bekas suaminya menggunakan alamat mereka di Batu 9, Cheras semasa membuat pinjaman.
“Selama 10 tahun, anda tidak pernah memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya kepada Tan.
“Kami ada kehidupan sendiri sekarang, berhenti mengganggu kami. Keluar dan hadapi masalah anda jika anda seorang lelaki sejati.”
Too berkata, sebelum mereka bercerai pada 2013, Tan meminta RM20,000 untuk membayar hutang selepas perniagaannya gagal.
Selepas memberi wang dan meminta cerai, Too menjangkakan dia sudah bebas daripada belenggu masalah kewangan.
Sementara itu, Chong memberi amaran kepada peminjam supaya berhenti mengganggu Too serta berusaha melakukan yang terbaik untuk mencari Tan.
Beliau turut menggesa penduduk di Batu 9, Cheras membantu menjaga keluarga Too kerana keselamatan mereka terancam.