
Ketua penerangannya, Mohd Solihan Badri, berkata kenyataan itu juga menunjukkan Umno sebagai sebuah parti yang tidak peka dengan permasalahan dihadapi rakyat di negara ini.
“Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan negara. Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Mohamad (Hasan) boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini?
“Sebaliknya, apabila beliau ‘bangga’ mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat, maka, itu satu lagi tragedi melanda bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu,” katanya menurut Berita Harian.
Mengulas lanjut, Solihan berkata, jika benar sentimen itu yang mahu dimainkan oleh Umno, maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi kerana gagal membela dan memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, katanya, Bersatu Johor mendesak Mohamad meminta maaf dan menarik semula kenyataan itu secara terbuka kerana ia telah melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah seluruh bangsa Melayu.
“Orang Melayu seperti Mohamad inilah sebenarnya orang Melayu yang mudah lupa. Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan,” katanya.
Beliau mengingatkan kepada Mohamad bahawa akar umbi partinya sendiri menyatakan kemarahan dan kekecewaan melalui protes senyap seperti ditunjukkan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor memandangkan peratusan pengundi keluar merosot mendadak.
“Selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), rakyat akan menunjukkan protes seterusnya pada PRU15. Kemenangan calon BN pada siri PRK dan PRN dalam tempoh dua tahun lalu tidak boleh dianggap kerana kekuatan BN, tetapi disebabkan faktor lain termasuk ketidaksepakatan pembangkang,” katanya.