
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak memberitahu, Ainul yang kini berusia empat tahun menggunakan bantuan ventilator memandangkan kuman itu sudah merebak hampir ke semua anggota.
“Sekarang kita hanya perlu tunggu dan berdoa, apakah tindak balas tubuh Ainul.
“Mohon doakan Ainul berjaya lawan ye. Ainul sekarang sedang tidur.
Punca jangkitan kuman? Wallahualam. Sesungguhnya kami tak nampak kuman itu,” kata Safiuddin di Facebook.
Terdahulu, ibunya Nurul Erwani Zaidi berkata Ainul dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik (PICU) selepas doktor mengesahkan kanak-kanak berkenaan sudah terlalu tenat disebabkan jangkitan kuman yang merebak di semua tempat
“Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab infection (jangkitan) dah ada dekat semua tempat,” katanya di Instagram.
Erwani berkata, pada awalnya anak sulungnya itu mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Sebelum ini, kisah penderitaan Ainul mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom, bagi membuang tumor seberat 200g daripada mulut ketika kanak-kanak itu berusia 11 bulan, pada 2019.
Sementara itu, menerusi hantaran Instagram Nur Amalina memohon semua pihak mendoakan kesembuhan buat Ainul Mardhiah.
“Ainul sayang, kamu dah lakukan banyak kali sebelum ini. Kamu boleh lakukan sekali lagi. Teruskan berjuang sayang, Insya-Allah,” katanya.