3 rakan maut, motosikal bertembung kereta di Dungun

3 rakan maut, motosikal bertembung kereta di Dungun

Polis berkata, semua mangsa berusia 14 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Keadaan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa. (Gambar Facebook)
DUNGUN:
Tiga rakan karib maut, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di KM80 Jalan Jerangau-Jabor, Bukit Besi dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri, Muhammad Salman Faris Samsu dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal – semuanya berusia 14 tahun – maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 9.25 malam.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala Jerangau memasuki laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun bertembung motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan ke kedai makan.

“Pemandu Proton Iswara, iaitu lelaki berusia 50 tahun dan penumpang hadapan, wanita berusia 45 tahun, serta dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Baharudin, mayat ketiga-tiga pelajar SMK Bukit Besi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, nenek Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun berkata, beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuannya yang tinggal di Kuala Terengganu.

“Anak makcik, iaitu ibu saudara Faris, telefon beritahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi).

“Makcik terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal makcik yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

“Jadi, makcik terus hubungi telefon bimbit Faris, namun panggilan tidak dijawab. Makcik semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi dimaklumkan. Apabila sampai, makcik lihat motosikal makcik berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya diusung ke dalam kenderaan polis.”

Nolida sangat sedih kerana menjaga cucunya itu, yang juga anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir kerana ibu bapanya telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.