Zafrul dilantik bendahari BN Selangor, selangkah jadi calon PRU?

Zafrul dilantik bendahari BN Selangor, selangkah jadi calon PRU?

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos dilantik sebagai ketua komunikasi BN Selangor.

Tengku Zafrul Aziz berpakaian biru Barisan Nasional pada program Konvensyen BN Selangor hari ini dalam gambar yang dimuatnaik Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) di Facebooknya.
SHAH ALAM:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilantik bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar ketika berucap sempena Konvensyen BN Selangor, malam ini.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos yang menyandang jawatan itu sejak 2019 bertukar portfolio sebagai ketua komunikasi BN Selangor.

Pelantikan Zafrul menguatkan spekulasi bahawa bekas tokoh perbankan itu bakal bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Zafrul yang dilantik menteri kewangan pada Mac 2020 aktif menghadiri pelbagai program di kawasan berkenaan.

Parlimen Kuala Selangor kini disandang Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada 18 Jul, Jamal menyatakan kesediaannya untuk berundur sebagai bendahari BN Selangor, bagi memberi laluan kepada Zafrul memegang jawatan itu.

Jamal dalam kenyataan berkata BN Selangor amat memerlukan seorang individu “heavyweight” seperti menteri kewangan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Zafrul yang memakai baju rasmi BN disambut mesra para perwakilan sejurus tiba di Konvensyen BN Selangor kira-kira jam 8.15 malam.

Beliau kemudian terus ke ruang dewan dan duduk semeja bersama pemimpin tertinggi BN dan Umno termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Zafrul yang ditemui media selepas majlis itu mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN pusat dan negeri kerana memberi kepercayaan kepada beliau memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesediaan beliau menjadi calon BN pada PRU15, Zafrul berkata perkara itu terpulang kepada parti untuk menentukannya.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan BN tercalon atau tak tercalon yang penting kita sama-sama memastikan BN mampu menang.

“Saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan BN dan apa saja strategi (selepas ini) tunggu Noh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.