Syarikat tembakau gesa Putrajaya kaji semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok

Syarikat tembakau gesa Putrajaya kaji semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok

Gabungan itu mengatakan, RUU kawalan tembakau bukan sahaja tidak produktif, sebaliknya boleh mengakibatkan ia terjerumus ke pasaran gelap dan menjadi industri haram.

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) berkata, larangan seperti ini tidak produktif terutamanya jika dilaksanakan terhadap orang dewasa.
PETALING JAYA:
Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dengan kadar segera.

CMTM yang mewakili tiga pengeluar rokok utama iaitu British American Tobacco (Malaysia) Bhd, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd berkata, larangan seperti ini kebiasaannya tidak produktif terutamanya jika dilaksanakan terhadap orang dewasa.

“Larangan sebegini katanya, tidak akan menyebabkan sesuatu produk dilarang itu hilang dan sekatan umur tidak menjadikannya tidak dapat diperolehi oleh mereka di dalam lingkungan umur.

“Sebaliknya ia hanya akan mengubah cara produk itu dibekalkan, siapa yang membekalkannya dan kadar harga yang kadangkala lebih rendah jika cukai dielakkan,” katanya dalam kenyataan.

CMTM berkata, larangan itu mempunyai lebih banyak kesan kepada ekonomi secara keseluruhan sedangkan peniaga sukar untuk melaksanakan beberapa peruntukan undang-undang tertentu, yang secara langsung turut meningkatkan kos pematuhan.

“Dengan kos pematuhan yang lebih tinggi disebabkan RUU itu, syarikat dan peniaga akan berhadapan kesukaran untuk mengekalkan daya saing dalam keadaan ekonomi yang sukar ini.

“Sebahagiannya mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka, menyebabkan beribu-ribu pekerja menganggur. Dalam situasi lain, peniaga mungkin terpaksa mengambil langkah pemotongan kos untuk memastikan kos keseluruhan dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, CMTM berkata, pelancongan di negara ini juga mungkin terjejas kerana kuasa penguatkuasaan diberikan di bawah RUU sangat luas di mana ia menjenayahkan individu, termasuk pelancong dan pemilik perniagaan.

“Daripada mewujudkan generasi bebas asap rokok, Malaysia sebaliknya boleh mewujudkan generasi baharu dipenuhi penjenayah yang dihukum kerana membeli atau menggunakan bahan dibenarkan secara sah kepada orang lain.

“Menggunakan undang-undang untuk mengharamkan sesuatu produk tidak semestinya menghilangkan atau membasmi kewujudannya. Kebiasaannya ia hanya akan mengakibatkan ia terjerumus ke pasaran gelap dan menjadi industri haram.” tambahnya.

Tambahnya, angka industri menunjukkan bahawa, larangan secara terang-terangan boleh mengakibatkan insiden perdagangan haram meningkat daripada 57.7% pada Mei 2022 kepada 63.8% seperti yang berlaku pada 2020, yang menyaksikan, kehilangan hasil kerajaan daripada industri tembakau melebihi paras RM5 bilion.

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan peruntukan RUU ini bagi mengelak kesan tidak diingini berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.