
Kumpulan yang terdiri daripada bekas penjawat awam itu berkata, penelitian terhadap pembiayaan politik juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang diperlukan dalam sesebuah negara.
“Kami dalam G25 berharap agar rang undang-undang pendanaan politik akan diberi perhatian dengan segera oleh kerajaan supaya ia dapat diluluskan dengan secepat mungkin.
“Undang-undang berkenaan merupakan salah satu reformasi institusi terpenting yang mesti dilakukan oleh Malaysia bagi memulihkan keyakinan domestik mahupun antarabangsa terhadap demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.” kata G25 dalam kenyataan.
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengemukakan usul kepada Parlimen bagi membentangkan RUU persendirian mengenai pendanaan politik.
Menurut G25, RUU itu bertujuan mengawal pendanaan awam dan swasta parti politik sebagai satu cara membendung rasuah, sekali gus menjadikan proses pendanaan politik lebih bertanggungjawab.
Katanya, rang undang-undang itu juga bertujuan menghentikan amalan tidak beretika serta kegiatan rasuah dalam pendanaan politik dalam kalangan ahli politik di Malaysia, khususnya derma asing.
Pada 25 Julai, bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd, David Tan mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah membuat jutaan ringgit derma politik kepada beberapa ahli politik seperti Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, bekas menteri pengangkutan Chan Kong Choy dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Ka Chuan, ketika perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Bekas pengurus pentadbiran UKSB itu menyebut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, Anifah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican antara penerima dana daripada UKSB.
Kesemua mereka sejak itu menafikan pengambilan sebarang sumbangan daripada syarikat itu, dengan mengatakan mereka bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan itu.