Orang Sabah sanggup ‘terbang’ ke P Pinang, cari pengalaman pertama hadiri Bon Odori

Orang Sabah sanggup ‘terbang’ ke P Pinang, cari pengalaman pertama hadiri Bon Odori

Seorang wanita Sabah berkongsi rasa teruja apabila kali pertama menghadiri festival Bon Odori di Pulau Pinang.

Zaziah Husin menari di festival Bon Odori di Pulau Pinang semalam. Dia berkata rakyat di Borneo hanya ketawa melihat kekecohan di Semenanjung mengenai perayaan Jepun itu.
GEORGE TOWN:
Sepanjang hidupnya Zaziah Husin tidak pernah tahu apa itu Bon Odori. Ia hanya menarik perhatiannya selepas festival itu menjadi isu perdebatan di alam maya baru-baru ini.

Itu adalah kali pertama dia mendengarnya. Dia kemudiannya diberi maklumat lanjut oleh kakaknya yang pernah menghadiri perayaan tradisional Jepun di Semenanjung sebelum ini.

Dia dan tiga rakannya kemudiannya memutuskan untuk menempah tiket kapal terbang ke Pulau Pinang bagi menghadiri festival itu.

“Kami mahu pergi yang diadakan di Kuala Lumpur, tetapi kami tidak dapat cuti pada hari itu,” katanya sambil menari dengan gemalai, meniru pergerakan wanita Jepun melakukan perkara sama dalam festival Bon Odori Pulau Pinang, petang semalam.

Malah, Zaziah turut membeli yukata bunga biru laut (pakaian musim panas), penuh dengan obi merah (tali pinggang) dari Esplanade, dengan mengatakan dia agak tertarik dengan pakaian tradisional itu.

Wanita berusia 44 tahun yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi di Kota Kinabalu itu berkata, dia tidak mengambil serius nasihat daripada pihak berkuasa agama supaya umat Islam tidak menghadiri majlis seumpama itu.

Zaziah berkata, dia boleh membuat penilaian dengan lebih baik mengenai apa yang bertentangan dengan Islam atau tidak. “Bon Odori tidak,” katanya.

Hafiz Othman, 45, bersama gurunya Yukaga Takahashi (kanan) bermain alat muzik tradisional Jepun, koto, pada perasmian festival Bon Odori di Pulau Pinang.

“Saya pergi ke sekolah convent, menghadiri upacara keagamaan di gereja dan juga merayakan Krismas selama bertahun-tahun dengan rakan-rakan.

“Jika ini akan menjadikan saya sesat, maka saya sudah lama sesat. Saya tetap seorang Muslim yang taat dan saya tahu apa yang saya lakukan,” kata Zaziah dari keturunan Bajau-Cina.

Bagi Hafiz Othman, 45, menyertai festival itu adalah pilihan peribadi dan tidak ada kaitan dengan akidah umat Islam.

“Sudah jelas apabila Sultan Selangor, yang juga sebagai ketua agama negeri, berkata Bon Odori adalah acara kebudayaan.

“Saya sangat rasa tidak selesa dengan orang yang beritahu saya apa yang salah, apa yang betul, terutamanya apabila mereka tidak berada dalam kedudukan untuk berkata demikian,” katanya.

Dalam festival itu, Hafiz dilihat bermain alat muzik bertali Jepun dikenali koto, pada acara perasmian dengan mengenakan baju Melayu.

Jurutera perisian Nor Aida Ismail, 40 bersama anak perempuannya Puteri Aisyah Humaira Mohamad Nor Izam, 11.

Bagi jurutera perisian Nor Aida Ismail, 40, dia menghadiri festival itu bagi memberi sokongan moral kepada anak perempuannya, Puteri Aisyah Humaira Mohamad Nor Izam, 11, yang menyertai persembahan seni mempertahankan diri, aikido.

Katanya, mereka ke festival itu dengan kesedaran bahawa orang Islam tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam tarian Bon Odori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.