Tikam bekas kekasih, polis buru suspek

Tikam bekas kekasih, polis buru suspek

Suspek dipercayai menikam bekas kekasihnya kerana berang pelawaan untuk keluar bersama ditolak.

Polis kini giat memburu suspek yang menikam bekas kekasihnya di kaki lima sebuah hotel di Melaka.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki tergamak menikam bekas kekasihnya kerana dipercayai berang selepas pelawaannya untuk keluar bersama ditolak, dalam kejadian di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Melaka semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Christopher Patit, mereka menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 6.26 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudiannya dikejarkan ke lokasi, sebelum menemui kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.

“Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki kepada wanita berusia 23 tahun.

“Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit, namun sempat ditahan oleh mangsa dengan tangan selain pisau turut terkena pada bahagian kakinya.

“Dalam pergelutan itu, mangsa terjatuh dan rakannya yang cuba membantu, turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek,” katanya, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan mangsa yang menolak pelawaan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama selepas wanita itu memutuskan hubungan mereka, kira-kira dua minggu lalu.

“Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.

“Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.