
Dalam kenyataan, Perkeso menegaskan seseorang suri rumah bukannya “pekerja” yang melakukan aktiviti pekerjaan mendatangkan upah.
“Sekiranya jumlah caruman ini ditetapkan pada kadar lebih tinggi, misalnya pada kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan, kadar caruman akan meningkat kepada RM418.80 setahun atau kira-kira RM34.90 sebulan.
“Kadar lebih tinggi ini sedikit sebanyak boleh membeban atau menyukarkan segelintir golongan suri rumah di negara ini untuk membuat bayaran caruman skim tersebut,” katanya.
Perkeso turut menegaskan, gaji bulanan anggapan itu bukan merujuk kepada nilai pendapatan atau gaji sebenar yang dibayar kepada seorang suri rumah, tetapi digunakan sebagai kadar asas bagi mengira dan menetapkan kadar caruman dan faedah oleh Perkeso.
Sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 akan diwujudkan bagi tujuan memberi perlindungan kepada isteri yang dikenali sebagai SKSSR.
RUU itu menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim berkenaan berhak mendapat faedah hilang upaya seperti perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.
Suri rumah berinsurans atau orang tanggungannya juga berhak kepada faedah keilatan iaitu elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, pencen penakat serta faedah pengurusan mayat.
Namun, ia mendapat kecaman Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana fasal yang menyebut RM600 sebagai “kadar bayaran caruman” suri rumah, disifatkan sebagai menghina.
Beberapa kumpulan yang memperjuangkan hak wanita turut mengkritik kerajaan kerana menyebut RM600 sebagai “nilai kerja yang diandaikan” bagi suri rumah, dengan mengatakan ia tidak menggambarkan jumlah kerja dilakukan mereka.
Perkeso menegaskan RM600 itu bukan “nilai pendapatan”, “gaji sebenar”, atau “gaji minimum” suri rumah, sebaliknya kadar itu digunakan sebagai asas bagi mengira dan menetapkan kadar caruman dan faedah, berdasarkan kajian aktuari dan pengiraan caruman bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja.
Katanya lagi, penentuan RM600 itu mengambil kira sumbangan RM10 oleh kerajaan kepada Perkeso untuk program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri), dan jumlah itu digunakan bagi pelaksanaan SKSSR, sebagai permulaan.
“Jumlah ini boleh dinaikkan atau ditambah baik dari semasa ke semasa melalui kuasa Menteri dengan meminda Jadual Ketiga di dalam rang undang-undang atau akta suri rumah ini.”