‘Pendapatan boleh guna’ sasar subsidi bersifat jangka panjang, kata pakar

‘Pendapatan boleh guna’ sasar subsidi bersifat jangka panjang, kata pakar

Ahli ekonomi berkata ia lebih wajar kerana akan dapat mencapai kumpulan sasaran dengan lebih berkesan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli telah mencadangkan pendapatan boleh guna untuk menentukan bagaimana subsidi bersasar boleh dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Idea menggunakan pendapatan boleh guna sebagai ukuran untuk menyasarkan subsidi telah disambut baik tetapi seorang ahli ekonomi percaya idea itu lebih kepada penyelesaian jangka panjang.

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya (UM) berkata pendapatan boleh guna adalah ukuran yang lebih wajar bagi subsidi kerana mereka akan dapat mencapai kumpulan sasaran dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun katanya, kelemahannya adalah masa yang diperlukan untuk menghasilkan pendapatan boleh guna sebenar penerima, yang mungkin melambatkan proses membantu mereka yang memerlukan.

“Jadi bagi saya ini adalah rancangan jangka panjang dan sesuatu untuk diusahakan pada masa hadapan, selagi pengagihan berdasarkan sistem semasa tidak ditahan,” kata Goh, yang merupakan pensyarah kanan ekonomi.

“Saya amat percaya, walaupun kaedah ini digunakan, akan ada mereka yang datang dengan cara untuk menyalahgunakan sistem. Tidak ada satu sistem yang akan sesuai dengan sempurna.”

Jabatan Perangkaan mentakrifkan pendapatan boleh guna sebagai jumlah pendapatan yang tinggal selepas ditolak bayaran wajib seperti cukai, zakat dan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Manakala seorang lagi penganalisis, Benedict Weerasena dari badan pemikir Bait Al-Amanah, berkata pendapatan boleh guna mesti berdasarkan data terkini yang ada.

Katanya, faktor lain yang harus disertakan ialah saiz isi rumah, komposisi dan lokasi geografi.

Bagaimanapun katanya, faktor tambahan ini mungkin merumitkan proses pelaksanaan, mengakibatkan ralat pengecualian yang lebih besar apabila isi rumah akan tercicir.

Weerasena berkata, klasifikasi pendapatan isi rumah semasa memberi gambaran tidak tepat mengenai mereka yang memerlukan subsidi yang disasarkan.

Katanya, sebanyak 580,000 isi rumah dalam kategori M40 sebelum ini telah tergelincir ke dalam kategori B40 pada 2020, dengan 12.8% daripada isi rumah T20 tergelincir ke dalam kumpulan M40 pada tahun yang sama.

Ini sebelum mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan perintah sekatan penuh yang berulang pada tahun 2021.

Cadangan untuk menggunakan pendapatan boleh guna dilontarkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli awal bulan ini. Beliau berkata had pendapatan tidak mendedahkan kesukaran sebenar yang dihadapi keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.