
Jernell Tan dari Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) memberitahu Kementerian Sumber Manusia agar menjelaskan bagaimana ia mencapai anggaran yang begitu kecil.
Beliau mengulas fasal dalam Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (SKSSR) yang menyebut RM600 sebagai “nilai kerja yang diandaikan” bagi seorang suri rumah.
Di bawah RUU itu, suri rumah yang mencarum dalam skim berkenaan berhak mendapat faedah hilang upaya seperti perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.
Penilaian itu dikecam bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh, yang menyifatkannya sebagai “menghina”.
Tan memberitahu FMT: “Menjadi suri rumah adalah kerja yang dilakukan 24 jam sehari 7 hari seminggu. Anggaran ini bukan sahaja tidak sesuai. Ia adalah satu kekejian.”
Menurutnya, kerajaan harus melaksanakan kajian untuk mendapatkan gambaran lebih baik mengenai sumbangan kerja rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Katanya, ini adalah sesuatu yang dilakukan di Vietnam.
Dalam ringkasan dasar, kumpulan anti-kemiskinan ActionAid berkata bahawa kerja penjagaan tanpa gaji, termasuk kerja rumah, menyumbang kepada lebih 20% daripada KDNK negara pada 2015.
Sementara itu, pengasas Engender Consultancy Omna Sreeni-Ong turut menyuarakan sentimen sama, sambil berkata Jabatan Perangkaan harus melaksanakan tinjauan penggunaan masa yang komprehensif untuk memahami realiti yang dihadapi oleh suri rumah.
“Selain kerja rumah dan penjagaan, ibu bapa yang tinggal di rumah ditugaskan memandu, membeli-belah runcit, memasak, membayar bil, menghadiri aktiviti sekolah anak-anak dan menjaga warga emas di rumah,” katanya.
“Semua tugasan ini, jika dikira, akan berlipat kali ganda daripada nilai dalam rang undang-undang itu iaitu RM20 sehari.”
Menurut Bahagian Perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik penggunaan masa mengukur peruntukan masa individu untuk pelbagai aktiviti dalam tempoh tertentu.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das, menyatakan bahawa kerja rumah tangga biasanya dilihat dari segi nilai sosial dan tinjauan adalah penting jika kerajaan berhasrat untuk meletakkan “nombor padanya”.
“Tanpa maklumat seperti itu, dalam konteks Malaysia, kerja suri rumah akan terus dipandang rendah,” katanya.