Kelantan pernah jadi pilihan AirAsia hab serantau IndoChina, kata timbalan MB

Kelantan pernah jadi pilihan AirAsia hab serantau IndoChina, kata timbalan MB

Mohd Amar Nik Abdullah berkata cadangan lapangan terbang antarabangsa itu dibatalkan kerana terdapat halangan pihak tertentu ketika suasana politik tidak kondusif.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah berkata Kelantan pernah menjadi pilihan AirAsia sebagai hab serantau namun ia tidak menjadi kenyataan susulan suasana politik tidak kondusif ketika itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan AirAsia pernah menjadikan Kelantan sebagai negeri pilihan hab serantau di mana pihak kerajaan negeri telah merizabkan kawasan seluas 500 ekar di Sungai Bagan, Machang, kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana dari segi jarak perjalanan ke IndoChina, mahupun ke sebelah Jepun dan China itu sendiri memang dekat dengan Kelantan.

“Sekarang ini pun lalu ikut Kelantan juga. Dari Kuala Lumpur itu nak pergi ke IndoChina, nak pergi ke China sendiri, nak pergi ke Jepun dan sebagainya pun lalu ikut Kelantan.” katanya menurut Harakahdaily ketika menghadiri majlis makan malam dialog kemakmuran ekonomi dan pembangunan Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Amar berkata suasana politik yang tidak kondusif ketika itu mengakibatkan wujudnya halangan pihak tertentu sekali gus cadangan lapangan terbang antarabangsa itu terpaksa dibatalkan.

“Dengan suasana politik baharu kini, perkara tersebut boleh dibincangkan semula agar ia dapat direalisasikan sebagaimana dicadangkan pada 2018 lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.