JKPK mahu diberi peluang nilai semula RUU kawalan tembakau, elak salah guna kuasa

JKPK mahu diberi peluang nilai semula RUU kawalan tembakau, elak salah guna kuasa

Fasal-fasal tentang penguatkuasaan RUU itu akan membuka ruang penyalahgunaan dan salah tafsir, kata Jawatankuasa Pilihan Khas.

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial menyuarakan kembimbangan penguatkuasaan RUU itu kerana ia melibatkan golongan bawah umur.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) mahu diberi peluang untuk menilai sama ada penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jawatankuasa itu menyuarakan kebimbangan sekiranya fasal penguatkuasaan RUU itu akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

“Fasal 24 memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana orang menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta itu, hal ini bermaksud pegawai yang diberi kuasa boleh menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, menggeledah mahupun menyita dengan ataupun tanpa waran,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Jawatankuasa yang dianggotai sembilan orang Ahli Parlimen itu diketuai Ahli Parlimen Pengerang yang juga bekas Menteri Undang-Undang, Azalina Othman.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama pada Rabu.

Jika diluluskan, mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya tidak akan dibenarkan memiliki dan menghisap produk tembakau dan vape.

JKPK berkata penguatkuasaan RUU itu melibatkan golongan bawah umur sedangkan pengendalian mereka memerlukan pegawai yang terlatih dan mempunyai sensitiviti kanak-kanak, selaras dengan norma antarabangsa.

“Fasal berkaitan kompaun kesalahan juga perlu diteliti dengan lebih mendalam atas implikasinya terhadap golongan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu turut menyokong Syor No.13 Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman jenayah yang dikenakan kepada kesalahan melibatkan remaja.

“Kami sedia membantu pihak KKM berkenaan RUU tersebut dari perspektif kanak-kanak sebelum bacaan kedua RUU itu di Dewan Rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.