Jangan politikkan isu Stadium Shah Alam, kata exco Selangor

Jangan politikkan isu Stadium Shah Alam, kata exco Selangor

Apa yang dilakukan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari adalah bagi memberi nafas baru kepada industri sukan di negeri itu.

Stadium Shah Alam dibina pada 1994 akan dibangunkan semula dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM787 juta. (Gambar Wikipedia)
SHAH ALAM:
Exco Pembangunan Generasi Belia, Sukan dan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu Stadium Shah Alam yang sebelum ini didakwa akan dirobohkan.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari adalah bagi memberi nafas baharu kepada industri sukan di negeri itu.

“Apa pun keputusan kita buat tetap akan ada yang membantah dan untuk atlet, sudah tentu akan menyokong kerana dapat tempat baru.

“Mungkin untuk orang lama akan menentang sebab ada sentimental value jika kekalkan Stadium Shah Alam,” katanya kepada FMT ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu Stadium Shah Alam yang sebelum ini dikritik hebat oleh Umno Selangor.

Tambahnya, Amirudin juga akan mengadakan sesi pendengaran awam pada September ini berhubung Stadium Shah Alam.

“Jadi dalam sesi pendengaran awam itu kita jemput dan akan dengar pandangan. Saya rasa, ini bukan isu politik tetapi nak beri nafas baharu kepada industri sukan itu,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan membangunkan semula Stadium Shah Alam dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM787 juta.

Katanya, kerajaan negeri memilih untuk membangunkan semula berbanding membaik pulih stadium berkenaan kerana dianggap lebih berbaloi selepas melakukan penilaian dari segi teknikal dan secara kewangan.

Menurut Amirudin, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dilantik selepas melalui proses pemilihan ketat yang menyaksikan penyertaan 15 syarikat lain termasuk dari antarabangsa dan syarikat senarai awam.

Pada awal Julai lalu juga, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar dilaporkan berkata, adalah sesuatu yang mendukacitakan jika kerajaan negeri mengambil keputusan merobohkan stadium itu kerana pembangunan yang sedia ada sepatutnya diteruskan kesinambungannya walaupun diterajui oleh kerajaan dan parti berbeza.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, stadium itu telah diambil alih dari kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi dan mungkin dari segi teknologi yang dibina ketika itu tidak dapat menampung teknologi masa depan.

“Kena ‘move forward’ dan tunggu bulan sembilan ini. Saya menyambut baik cadangan yang diberikan menteri besar dalam isu Stadium Shah Alam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.