4 lagi dipanggil lengkap siasatan himpunan #Turun

4 lagi dipanggil lengkap siasatan himpunan #Turun

Seramai 27 individu diambil keterangan melibatkan ahli politik dan aktivis pelajar namun kertas siasatan yang dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya dipulangkan semula.

Polis berkata seramai 27 individu sudah diambil keterangan berkait perhimpunan #Turun di hadapan pusat beli-belah Sogo, Sabtu lepas.
KUALA LUMPUR:
Polis akan mengambil keterangan empat lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan #Turun di hadapan pusat beli-belah Sogo, Sabtu lepas.

Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata sebelum ini seramai 27 individu telah diambil keterangan melibatkan ahli politik dan aktivis pelajar, namun kertas siasatan berkenaan yang telah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya dipulangkan semula.

“Pejabat Timbalan Pendakwa Raya telah memulangkan kembali kertas siasatan itu dan mengarahkan untuk merekod keterangan daripada empat individu lagi,” katanya menurut Bernama.

Noor Dellhan berkata, keempat-empat individu berkenaan akan diambil keterangan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada 23 Julai lepas, kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu telah berhimpun sambil memegang plakad dan gegantung bertulis “potong gaji menteri”, “turun dan lawan” dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.