Sukan Para Asean: 3 atlet Malaysia digugurkan selepas positif Covid-19

Sukan Para Asean: 3 atlet Malaysia digugurkan selepas positif Covid-19

Mereka ialah dua atlet catur, seorang atlet renang manakala seorang lagi melibatkan pegawai renang di Semarang, Indonesia.

Ketua Kontinjen Md Nor Azam Ariffin berkata, semua mereka tidak mengalami simptom dan dikuarantin mengikut ketetapan temasya itu. (Gambar Bernama)

SOLO (Indonesia): Sehari menjelang upacara perasmian Sukan Para Asean (APG) ke-11 di sini, empat ahli kontinjen Malaysia terpaksa melupakan impian untuk beraksi di temasya berkenaan kerana positif Covid-19.

Ketua Kontinjen Md Nor Azam Ariffin berkata, mereka disahkan dijangkiti wabak itu ialah dua atlet catur, seorang atlet serta pegawai renang di Semarang, kira-kira 100km dari sini.

Beliau berkata, kesemua individu berkenaan tidak mengalami simptom dan telah dikuarantin mengikut ketetapan temasya.

“Pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN) telah menetapkan bahawa mana-mana atlet yang positif akan digugurkan kerana mereka memerlukan masa untuk sembuh, selain ada juga atlet yang tidak dapat hadir ke kelayakan untuk bertanding.

“Hari ini kita telah meminta kesemua ahli kontinjen kita untuk membuat ujian, harap tiada pertambahan kes sehingga tamat temasya. Bukan Malaysia sahaja, negara lain juga ada merekodkan kes positif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko seperti menyewa kapal terbang khas ke Solo serta menjalani ujian saringan sebelum bertolak, namun tetap ada kes.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah acara dipertandingkan dan jadual terakhir temasya kali ini dijangka diketahui selepas mesyuarat pengurus pasukan esok.

Kontinjen Malaysia sebelum ini menyenaraikan 73 atlet, termasuk 22 atlet penampilan pertama kali untuk membawa cabaran negara dalam 11 jenis sukan pada temasya kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.