
Menurut laporan Borneo Post, Karim berkata, Akta Pilihan Raya ialah undang-undang persekutuan, bermaksud Sarawak hanya perlu menunggu RUU anti-lompat parti Parlimen diwartakan untuk dikuatkuasakan.
Naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu memuji kelulusan RUU itu semalam dan bagaimana ia diluluskan Ahli Parlimen sebulat suara.
“Jika sesiapa bercadang untuk bertanding bagi sebuah parti, mereka harus memilih untuk kekal bersama parti itu berbanding melompat ke sana sini, itu bukan caranya.

“Itu adalah pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan rakyat,” katanya.
Semalam, 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong RUU anti-lompat parti di Dewan Rakyat. Sebelas Ahli Parlimen tidak hadir semasa undian blok untuk meminda Perlembagaan itu.
RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada 9 Ogos ini. Selepas diluluskan di Dewan Negara, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum diwartakan.