
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu hakim Mohd Yazid Mustafa bahawa saksi tersebut, seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dikuarantin hingga 31 Julai.
“Jika diizinkan Yang Arif, kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.
Memandangkan tiada bantahan daripada peguam mewakili Zahid, Hamidi Mohd Noh, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan 10 hingga 12 Ogos depan untuk menyambung perbicaraan.
Zahid, 69, menghadapi 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagi tujuh lagi tuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SGD1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.