
Ketua Polis Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata semalam, pihaknya mengesan satu hantaran pemilik akaun Facebook “Cik Puan Zetty” berhubung kes berkenaan.
“Hasil semakan mendapati isu yang ditularkan oleh pemilik akaun itu adalah satu kes yang masih dalam proses siasatan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
“Selepas siasatan awal terhadap pengaduan itu, kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kanak-kanak itu juga telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan penilaian khusus terhadap status kesihatannya oleh pakar.
Rupiah berkata, polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menerusi hantaran itu, wanita tersebut mendakwa anaknya dimasukkan ke sebuah pusat terapi di sebuah institut pengajian tinggi di Skudai sejak November 2019 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7 Julai lepas.
Menurutnya, anaknya yang berusia enam tahun didera oleh guru terapi sehingga mengalami kesan lebam di bahu kiri yang berbentuk jari selain kesan cubitan di dada.