Permohonan Thomas, kerajaan batal saman Najib berkaitan 1MDB didengar 12 Ogos

Permohonan Thomas, kerajaan batal saman Najib berkaitan 1MDB didengar 12 Ogos

Bekas peguam negara itu dan kerajaan mengemukakan permohonan tersebut pada 18 Nov tahun lepas.

Najib Razak mendakwa Tommy Thomas menasihati Dr Mahathir Mohamad supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan kes saman difailkan Najib Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes termasuk 1MDB akan didengar pada 12 Ogos.

Peguam mewakili Najib, Yudistra Darma Dorai ketika dihubungi berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan hakim Ahmad Bache.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Yang Arif (Ahmad Bache) semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini dan pendengaran permohonan itu akan dijalankan secara fizikal,” katanya.

Pada 18 Nov tahun lepas, Thomas dan kerajaan mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut selepas mendakwa tindakan bekas perdana menteri itu menyaman mereka ialah suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Najib selaku plaintif memfailkan saman itu pada 22 Okt tahun lepas, dengan menamakan Thomas dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib, 68, berkata beliau didakwa di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau mendakwa tuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pada 2015, Thomas bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB.

Menurut Najib, Thomas juga menasihati Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta.

Jumlah ini termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.