
Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia M Mani Maran menerima 16 jahitan di hospital berikutan serangan itu yang berlaku di Kajang.
Dalam laporan polisnya, Mani mendakwa penyerang tersebut – dipercayai berusia lewat 30-an – adalah individu sama yang mendekatinya di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya selepas beliau membuat laporan terhadap seorang anggota Jemaah Menteri pada 22 Julai.
Anggota Jemaah Menteri itu dikatakan terlibat dalam tuntutan palsu dan pelesapan dana daripada program insentif pengambilan pekerja PenjanaKerjaya.
“Pada 22 Julai, saya nampak lelaki itu dalam kumpulan kecil yang memprotes tindakan kami membuat laporan. Dia mendekati saya dan kami berbual sebentar,” katanya kepada FMT.
Berhubung kejadian itu, Mani berkata, beliau baru keluar dari sebuah kedai cetak di Kajang kira-kira 1.40 tengah hari kelmarin apabila penyerang tersebut mendekatinya dan bertanya mengenai seorang individu.
Apabila Mani enggan melayannya dan terus beredar, penyerang itu mengeluarkan senjata tajam dan menyerangnya di leher sebelum melarikan diri.
“Saya tak tahu bagaimana dia tahu di mana saya berada. Saya percaya dia menghendap saya sejak beberapa hari lepas,” katanya.
“Saya sebenarnya nak ke pejabat SPRM sekali lagi untuk membuat laporan terhadap seorang ahli politik yang baru sahaja membeli kereta sport.”
FMT telah menghubungi polis Kajang untuk mendapatkan butiran lanjut.