
Beliau berkata, ia bagi memastikan “keseragaman, konsistensi dan kepastian di semua negeri”.
“Tidak sepatutnya ada set undang-undang berbeza antara setiap negeri dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Rangka kerja politik negara harus dibersihkan daripada oportunis yang tidak jujur,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang bersetuju tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan – meminda perlembagaan negeri untuk memasukkan undang-undang anti-lompat parti.
“Ismail juga harus memberikan komitmen sama dan mengarahkan kerajaan negeri di bawah naungan Barisan Nasional/Perikatan Nasional turut meminda perlembagaan masing-masing untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti.”
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyatakan pindaan Perlembagaan Persekutuan mungkin diwartakan bulan depan, selepas Dewan Negara bersidang pada 9 Ogos ini untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti bersejarah itu melalui undian blok.
Seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong RUU itu. Sebelas Ahli Parlimen tidak hadir.
Pembentangan RUU anti-lompat itu ialah salah satu syarat utama dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan PH.
Menurut RUU itu, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi, jika mereka melompat ke parti lain. Pengecualian akan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftarannya.
Ahli Parlimen yang dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat juga akan dikecualikan daripada undang-undang itu.
RUU itu memerlukan majoriti 2/3 atau sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk meminda Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.